I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, July 8, 2011

Janji dengan ALLAH


Laungan azan asar berkumandang di radio, menyeru segenap umat Islam untuk melaksanakan tanggungjawab kepada Yang Maha Pencipta. Namun begitu, Aisyah masih tekun dengan kerja-kerjanya. Sebagai akauntan, hujung-hujung bulan merupakan waktu paling sibuk buat dirinya, sibuk menyediakan paycheck bagi kakitangan syarikat. Azan yang telah lama berkumandang tadi dibiarkan sepi. Terdetik juga hatinya untuk melaksanakan perintah yang satu itu, namun mengenangkan wajah staff-staff lain yang sibuk menanyakan gaji mereka, dia tetap tekun melaksanakan tugasnya. Kalau gaji mereka lambat masuk dia juga yang akan dipersalahkan. “Hmm, kejap lagilah aku solat. Kalau solat kat rumah pun masih sempat ni”. Desis hatinya.
Waktu kerjanya akan berakhir sebentar lagi dan dengan jarak rumahnya yang tidak berapa jauh dari pejabat, dia yakin akan sempat solat di rumah. Memang menjadi kebiasaan buat dirinya, solat pada hujung waktu. “Takpelah, aku tetap solat walaupun lewat”. Desis hatinya lagi. Jarum jam sudah menganjak ke angka lima saat Aisyah sibuk mengemaskan mejanya. Urusan kerjanya sudah selesai buat hari ini. Rakan-rakan sepejabat lain juga mula meninggalkan ruang pejabat. Aisyah mengatur langkah ke parking kereta. Enjin kereta dihidupkan dan sejurus selepas itu, kereta Honda CRV itu meluncur megah di jalan raya. Jalan yang agak lengang membolehkannya memecut keretanya dengan lebih laju.
Tiba di satu selekoh, sebuah lori yang sarat dengan beras tiba-tiba muncul di hadapan keretanya. Aisyah tidak sempat menekan brek dan keretanya mulai hilang kawalan. Kereta yang dipandunya itu berpusing-pusing sebelum menghala ke laluan bertentangan. Sebuah kereta dari arah tersebut terus menghentam keretanya.
Jalan raya mulai sesak dengan pengguna jalan raya yang sibuk menyaksikan kemalangan tersebut. Pasukan bomba berusaha untuk mengeluarkan mayat Aisyah. Keadaan keretanya yang remuk menyukarkan lagi proses ini. Mayat wanita malang ini berjaya dikeluarkan saat azan Maghrib berkumandang. Dalam masa yang sama di dimensi yang berbeza, seorang wanita hanya mampu memandang sayu sekujur badan yang sudah tidak bernyawa itu. Itulah dirinya. Dia hanya mampu menangis teresak-esak mengenangkan janjinya dengan Khaliq.
“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu berasa tenteram maka dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisa’: 103)
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (Thabrani)

2 comments:

  1. sy ske cite nie..giv a lot of meaning..kna slalu beringat bhwa ajal n maut tue x kira masa..jgn slalu tngguh solat..1 pengajaran bg sy..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...